Jumaat, 17 April 2009

MELERAI KASIH

Ke taman sudah ke ladang sudah
Bunga selasih baru di tapi
Berkenalan sudah bertandang sudah
Kenapa masih membisu sepi?
*
Nak kata tumbuh macam tak tumbuh
Kelapa tua di belah-belah
Nak kata sungguh macam tak sungguh
Rupanya hamba bertepuk tangan sebelah.
*
Berderap-derap si batang padi
Melati rimba tidak berdaun
Harap-harap jangan tak jadi
Nanti hamba merana bertahun.
*
Halia hutan beruas labuh
Cendana sari dikerat-kerat
Mulia tuan emas sepuluh
Hina diri besi berkarat.

Rabu, 21 Januari 2009

PERTEMUAN

Seri murni hiasan tamu,
Indah mekar tepian muara;
Hari ini kita bertemu,
Moga kekal menjalin mesra.

Indah mekar tepian muara,
Bersambut bayu menenang rasa;
Moga kekal menjalin mesra,
Bersahut rindu sepanjang usia.

Bersambut bayu menenang rasa,
Selasih berbunga setanggi dewa;
Bersahut rindu sepanjang usia,
Kasih berbunga mewangi di jiwa.

Selasih berbunga setanggi dewa,
Harum baunya di maya pada;
Kasih berbunga mewangi di jiwa,
Selama-lamanya takkan kulupa.